Share

YOU CAN EASILY RECOGNIZE THEM (56:7) BY WHAT THEY ARGUE (KORAN 47:30)

SHARE

Tujuan Hidup

Sebelum ini saya menyebut mengenai kepentingan menjadi manusia sebenar. Inilah kunci segalanya. Secara logiknya, buah epal perlu menjadi buah epal, tidak perlu menjadi oren. Jadi bagaimanakah menggambarkan oren sebenar? Begitulah juga doktor, jadilah doktor sebenar. Samalah juga hal-hal selainnya.

Semuanya ini menjadi mudah apabila seseorang telah menjadi sebenar-benar manusia. Manusia yang mampu berbicara dengan hati semua makhluk dan membawa manfaat sebenar. Oleh itu tidak perlu kemunafikan menjalani kehidupan. Supaya hidup menjadi realiti dan mampu melalui kehidupan sebenar. Bukan mimpi ngeri yang dipenuhi konflik dan kekecewaan. Bagi mencapai maksud ini, sseorang perlu berupaya membuka matahati melihat yang Satu, melihat kebenaran.

Hanya setelah itu diri dan semua makhluk berinteraksi menjadi satu jasad. Semuanya harmoni menjadi anggotanya yang sejahtera. Bagi saya inilah maksudnya Khalifah dan inilah kehidupan sebenar. Kehidupan ini adalah Islam. Satu kehidupan yang tidak mendiskriminasikan kebaikan dan keburukan tetapi mencari keseimbangannya dan hikmah. Kehidupan yang merangkumi semuanya sebagai satu di atas paksi Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

Oleh itu persoalannya apa itu manusia?

Secara jujurnya saya tidak tahu. Bagi saya tidak mungkin maksud manusia sekadar merujuk memori yang telah dipengaruhi pelbagai pihak atau jasad semata-mata. Jasad reput setelah mati. Saya kekal hidup sebagai manusia. Sebelum kelahiran, kini dan selepas kematian. Saya masih dalam pencarian. Dan petunjuk paling hampir ialah 'hati' kerana apabila nafsu dan akal berupaya dikuasai, maka hati mula berbicara.

Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi, supaya dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga, yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada. (22.46)

Satu hati

Jasad kita secara umumnya terbahagi kepada nafsu, akal, hati dan ruh... berpecah tujuh. Sifat hati adalah suci, bersih dan berupaya mengenali ruh. Berkawan sesama sendiri. Hanya ruh mengenali Pencipta (7.172). Bukanlah nafsu, bukan akal dan bukan hati. Dan semua ini mengenai memori yang merentasi tiga alam.

Hati pula berbilang-bilang sebagai satu. Kita manusia dan masih berjasad. Sesuai dengan keadaan ini maka kita mempunyai keperluan hidup tersendiri. Tiada gunanya kita menafikan semua ini. Bukan setakat itu, malahan kita masih perlu berjual-beli bersama Tuhan melalui amalan-amalan kebaikan. Berjual-beli untuk bekalan hari akhirat.

Dalam situasi yang berbilang-bilang hati, maka cabaran sebenar ialah supaya dua atau selebihnya hati berupaya hidup harmoni dalam satu jasad. Sebaliknya manusia itu perlu mempunyai satu 'hati'; Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya (33.4). Satu hati di dalam situasi ini bermaksud kita tidak perlu menyingkirkan hati yang buruk kerana semuanya adalah yang satu.

Satu bermaksud tiada kecantikan atau keindahan jika keburukan disingkirkan. Ini kerana keburukan itu adalah sebahagian daripada kecantikan yang sama. Persoalkan sahaja kembali, kenapakah seseorang berusaha menjadi cantik? Bukankah kerana dia menerima suara hati yang menceritakan kehuduhannya? Kenapa seseorang menjadi kaya? Bukankah kerana dia menerima suara hati yang menceritakan dia miskin, tersangat miskin? Kenapa seseorang berusaha menjadi berkuasa? Bukankah kerana dia menerima suara hati yang menceritakan dia seorang pengecut?



Bagi saya inilah realitinya. Hidup dan melihat kebaikan dan keburukan dalam perspektif menyeluruh. Keburukan yang perlu diterima untuk menjadikan manusia berusaha mengubah takdirnya. Tanpa semua ini, tiadalah warna warni dan perjuangan kehidupan; Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas. Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya (96.6-7).  Oleh itu keburukan adalah satu keindahan yang unik dengan caranya tersendiri. Semuanya mengandungi bukti-bukti ke atas semua sifat Allah Yang Terpuji. Dan kerana elemen keburukan maka hidup kita berupaya menjadi sempurna dan mencapai satu titik keadilan yang menyeluruh. Setiap saat, dan membawa kita ke jalan memahami diri dan menyaksikan Pencipta sekalian alam.

Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa, dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah, berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya. (6.65)

Jangan dikhianati, tetapi jujurlah mencintai diri secara benar

Oleh itu tidak perlu bersedih. Tidak perlu tangisan yang berpanjangan. Sapukan air mata dan mulakan hidup dengan senyuman; Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur serta kamu beriman?  (4.147). Kehidupan hari ini bukanlah tempat menerima hukuman, tetapi tempat bagi memahami yang satu melalui kesyukuran. Kesyukuran ke atas diri sendiri, bukan yang lain. Dan tidak perlu juga kita memusuhi sesuatu yang dibenci. Penyingkiran bukanlah keperluan utama. Ini kerana penyingkiran tanpa menerima seadanya bukanlah kehidupan sebenar.



Sebaiknya kita berusaha belajar memahami dan menerima realiti kehidupan sebenar seadanya; Dan tidaklah sama perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat (iaitu definisi perbuatan baik). Tolaklah (kejahatan dari luar dan dari suara hatimu sendiri) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang (atau hati dan dirimu sendiri) yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (yang akan membantumu). (41.34).

Islam itu asimilasi kehidupan

Di sinilah kepentingan memaafkan diri sendiri kerana kehidupan sebenar adalah menerima seadanya. Semua ini hanya mudah dicapai melalui asimilasi kehidupan dan menurut aturannya sendiri, bukan penyerahan (submission), iaitu paksaan, kekerasan atau jalan yang negatif serta kemungkaran. Jalan orang-orang yang berputus asa dari rahmat Tuhannya.

Dan jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman? Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah; dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami. (10.99-100)

Inilah bahagian terbesar gambaran Islam. Kebebasan dan asimilasi. Sesuatu yang dapat dibuktikan secara nyata melalui apa sahaja ciptaan Allah, di mana-mana sahaja, dan memenuhi ruang lingkup kehidupan manusia. Hakikatnya, Islam is not submission but assmiliation, dan assimilation of life memerlukan akal yang sihat. Ianya memerlukan pemahaman dan hikmah. Hikmah pula memerlukan hati yang hidup, iaitu menjadi sebenar-benar manusia. Hanya setelah itu penyerahan itu menjadi ikhlas dan murni. Menjadi sebenar-benar hamba.

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. (2.269)

Oleh itu dan walaupun masih banyak yang perlu dirungkai serta diperbaiki, tujuan hidup saya ialah menjadi sebenar-benar manusia. Saya tidak tahu samada saya betul atau salah. Saya cuma berceritakan apa yang saya rasa sepatutnya. Moga-moga Allah membenarkan saya lebih memahami dan menguasainya dengan penuh keikhlasan pada suatu hari nanti. Mungkin semuanya akan menjadi lebih jelas setelah meneliti kembali satu-persatu ayat-ayat al-Quran...