Share

YOU CAN EASILY RECOGNIZE THEM (56:7) BY WHAT THEY ARGUE (KORAN 47:30)

SHARE

Kepentingan ayat larangan

Post sebelum ini menyentuh berkaitan ayat berbentuk larangan, iaitu 'Jangan'. Kini saya ingin membawa perhatian kepada ayat di bawah sebagai renungan.

Dan janganlah kamu makan dari sebarang (sembelihan) yang tidak disebut nama Allah atasnya kerana sesungguhnya sedemikian itu adalah kefasikan. Dan sesungguhnya syaitan-syaitan itu membisikkan kepada pengikutnya supaya mereka membantah kamu.  Dan jika kamu menuruti mereka (menghalalkan yang haram) sesungguhnya kamu (Muhammad) tetap menjadi orang-orang (kafir) musyrik. (6.121)

Kesimpulan dari ayat diatas ialah Rasulullah berupaya menjadi kafir sekiranya beriktikad dan beramal membantah ayat larangan 'janganlah', dan walaupun sesudah al-Quran menjelaskan; Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia (68.4). Semuanya menjadi tidak bernilai di hadapan Allah.

Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. (40.4)


Persoalan


Persoalannya ialah samada ahli agama mempunyai keistimewaan melebihi Rasulullah dan berupaya beriktikad membantah larangan (jangan) di dalam al-Quran ?

Ramai yang mungkin berpendapat tidak mungkin golongan ahli agama membuat iktikad yang sebegitu, tetapi itulah hakikatnya, secara melalui hadis yang mungkin tidak pasti kebenarannya, atau melalui kitab-kitab manusia dan permainan pihak berkuasa. Contoh paling jelas ialah menjatuhkan hukuman mati (rejam) ke atas penzina, dan dalam keadaan Allah tidak menjatuhkan hukuman mati (sebatan - 24.2). Tidak perlulah saya khususkan satu persatu di sini.

Contoh berkaitan keterangan melalui persaksian/periwayatan:

Katakanlah: “Bawalah saksi-saksi (cth. periwayat) kamu memberi keterangan (cth. melalui hadis) bahawa Allah mengharamkan ini”. Kemudian jika mereka menjadi saksi (cth. melalui periwayatan hadis), maka janganlah engkau turut sama membenarkan mereka (cth. secara iktikad beragama atau mazhab); dan janganlah engkau turut hawa nafsu orang-orang yang mendustakan ayat-ayat keterangan Kami, dan orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sedang mereka pula menyamakan (yang lain) dengan Tuhan mereka (syirik). (6.150)

Contoh ayat larangan:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar. (5.101)

Contoh bagi isu yang berkaitan pertikaian fakta sejarah:

Mereka akan berkata: “Bilangan Ashaabul Kahfi itu tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka “; dan setengahnya pula berkata:”Bilangan mereka lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” – secara meraba-raba dalam gelap akan sesuatu yang tidak diketahui; dan setengahnya yang lain berkata: “Bilangan mereka tujuh orang, dan yang kedelapannya ialah anjing mereka”. Katakanlah: “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit”. Oleh itu, janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan yang nyata (keterangannya di dalam Al-Quran), dan janganlah engkau meminta penjelasan mengenai hal mereka kepada seseorangpun dari golongan (yang membincangkannya). (18.22)

Saya tinggalkan persoalan di sini untuk renungan bersama.


Cerita Nabi Adam a.s.


Faktor lain yang turut diberi pertimbangan berkaitan ayat 6.121 di atas ialah Rasulullah sebagai pemimpin yang berilmu dan berkelayakan membuat keputusan (iktikad) ke atas umat Islam, dan ianya mestilah bersama amalan membantah larangan Allah. Selainnya, al-Quran juga membezakan orang Muslim, Beriman, dan golongan memperbaiki amal.

Selanjutnya fakta di atas boleh dibezakan dengan cerita Nabi Adam a.s. di bawah. Cerita di bawah berkaitan membantah larangan Allah secara tidak disengajakan, atau tanpa beriktikad membantah larangan Allah.

Dan kami berfirman: “Wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (atau) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim”. Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa”.  Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (taubat yang diamalkannya) lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (2.35-37)

Kesimpulannya ialah Allah mengampunkan dosa melanggar ayat larangan sekiranya tidak disertai iktikad membantah larangan tersebut. Ini yang saya faham, dan saya masih mengkaji serta akan memasukkan ayat berkaitan pada post ini dari masa ke semasa.

Seperkara yang penting ialah kita hendaklah sentiasa mengkaji, bermuhasabah dan memperbaiki diri serta selalu bertaubat daripada perbuatan yang mungkin kita tidak sedari. Moga-moga semua di antara kita boleh termasuk dalam golongan yang memperbaiki amal.

Katakanlah: Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat, serta berserah bulat-bulat kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan. (39.53-54)


Rasional Mematuhi Larangan 'Jangan'


Rasional berkaitan tegasnya mematuhi larangan 'jangan' ialah supaya semua manusia berupaya hidup harmoni dalam berbilang bangsa dan agama. Ianya asas kehidupan paling minumum atau tiang utama untuk kesejahteraan masyarakat dan penyatuan umat secara menyeluruh, dan bagi mengelakkan permusuhan, peperangan dan pembunuhan sesama manusia. Ianya tiang utama kepada kesejahteraan ekonomi, sosial dan politik, memelihara kreativiti umat manusia, dan juga supaya semua berpeluang mencari rezeki dan membina diri serta keluarga masing-masing. Pembaharuan sebenar ialah dari diri kita sendiri, bukan dari faktor luaran; Allah tidak mengubah takdir sesuatu kaum sehingga mereka mengubah takdir mereka sendiri. (13.11)

Syurga
|
Ayat Perintah
(maksimum - kebanyakannya amat sukar dicapai)
|
100%
|
80%
|
60%
|
40%
|
20%
|
Kompromi
(Level Bonus mengikut individu)

|
0%
|
Tiada kompromi
(penentuan keislaman)
|
perpecahan |--------- Ayat Larangan (Jangan)  ---------| peperangan
Syarat minimum mencapai penyatuan umat (Foundation)
(Hukum asas - masyarakat hanya boleh bersatu dan maju pada level ini)

|
Neraka

Bagi diri saya, larangan sebegini merupakan rahmat dan kemudahan serta kebebasan cara hidup kepada semua umat manusia. Ianya bukanlah ke atas sesuatu yang sukar untuk dilakukan, dan ianya juga adalah syarat asas bagi memastikan masyarakat hidup secara harmoni dalam kepelbagaian agama, tradisi, keturunan dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, semua ini sekadar renungan dan mereka yang berminat boleh berusaha mengkaji sendiri al-Quran dan membuat senarai larangan 'jangan' (checklist) daripada al-Quran untuk dijadikan pedoman. Mungkin juga ada baiknya kita bertanggung-jawab ke atas diri kita sendiri daripada membiarkan orang lain menentukan kehidupan kita pada hari akhirat.

Katakanlah: “Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya? (Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan”. Merekalah orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya; oleh itu gugurlah amal-amal mereka; maka akibatya Kami tidak akan memberi sebarang timbangan untuk menilai amal mereka, pada hari kiamat kelak. (18.103-105)