Share

Golongan jahil

Prinsip kali ini berkaitan dengan post sebelumnya untuk menuruti prinisip yang jelas. Post awalnya menerangkan untuk mematuhi ayat muhkamat dan tidak mengendahkan ayat mutasyabihat. Pada bahagian ini berkaitan tidak menanyakan mengenai perintah yang tiada di dalam al-Quran dan melaksanakan seadanya, menurut keseimbangan apa yang adil dan tidak adil.

...bukan jalan orang-orang yang Engkau telah murkai (kufur ingkar), dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat (orang yang jahil). (1.7)


Prinsip

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan sesuatu perkara jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu, dan jika kamu bertanya mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah maafkan dari (kesalahan bertanyakan) perkara-perkara itu (yang tidak dinyatakan di dalam Al-Quran); kerana Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar. (5.101)

Prinsipnya ialah ' janganlah kamu bertanyakan ', prinsip dan perkara yang tidak dinyatakan di dalam al-Quran, dan jika prinsip atau perkara itu diterangkan ianya 'akan menyusahkan kamu'. Ayat berbentuk larangan, 'jangan.' Semuanya kerana Allah memberikan kemudahan dan kebebasan cara hidup. Supaya tema utama al-Quran ' manusia itu satu umat (2.213) ' dicapai, dan manusia boleh hidup harmoni dalam kepelbagaian cara hidup.

Dan Kami tetap memberi kemudahan kepadamu untuk cara hidup (deen) yang mudah diterima oleh akal yang sihat. (87.8)

Islam adalah satu cara hidup yang mudah dan menyanjung kebebasan cara hidup. Taati apa yang jelas di dalam al-Quran, dan kebebasan cara hidup bagi apa jua yang tidak dinyatakan di dalam al-Quran. Tetapi jangan sesekali memperincikan atau mengada-adakan sesuatu hukum sehingga mengakibatkan tekanan hidup dan umat manusia berpecah-belah dan berpuak.

Lakukan sendiri apa yang disukai dan adil, tinggalkan sendiri apa yang tidak disukai dan zalim, tetapi jangan sesekali mensyariatkannya di atas nama Allah; Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah (16.116). Sebaliknya golongan tidak beriman menyukai apa yang menyusahkan cara hidup manusia.

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi “orang dalam” (yang dipercayai). Mereka tidak akan berhenti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu. Telahpun nyata (tanda) kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Sesungguhnya telah kami jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan itu jika kamu memahaminya (3.118)

' Mereka sukakan apa yang menyusahkan kamu '. Dengan cara sebegini mereka rasa disanjung dan memperolehi peluang memegang kuasa, serta berupaya memecahbelahkan masyarakat. Mereka tidak mahukan manusia menjadi satu umat. Inilah alasannya supaya 'janganlah kamu bertanyakan' pada ayat (5.101). Kesinambungan cerita (5.101) menjelaskan rasional kepada prinsip ' jangan bertanya ' dan bagaimana ahli-ahli agama mendustakan hukum Allah.

Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah ditanyakan oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu (kerana setelah diterangkan, mereka tidak menerimanya, berselisih dan menjadi berpuak-puak). Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Saa’ibah, tidak juga Wasilah dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah; dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya. Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran), dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)”, mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya”. Adakah (mereka akan menurut juga) sekalipun datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah petunjuk? (5.102-104)

Begitulah juga sepertimana digambarkan melalui cerita Nabi Musa dan kaumnya.  Padahal Allah sudah tentu menerima sebarang lembu korban sekiranya mereka tidak bertanya.  Tetapi manusia suka menyukarkan hidup, dan kerana di dalam hati mereka itu terdapat ragu-ragu dan satu penyakit kemunafikan untuk hidup berpuak-puak dan memecahbelahkan umat manusia. Golongan ini tidak dapat menerima 'Yang Satu'.

Dan ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina”. Mereka berkata: “Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? (kerana memerintahkan sesuatu yang umum)” Nabi Musa menjawab: “Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi salah seorang dari golongan yang jahil (1.7)”.

Mereka berkata pula: “Berdoalah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami bagaimana (sifat-sifat) lembu itu?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan (umurnya) di antara itu; maka kerjakanlah apa yang diperintahkan kepada kamu melakukannya”. Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami apa warnanya?” Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Bahawa (lembu betina) itu ialah seekor lembu kuning, kuning tua warnanya, lagi menyukakan orang-orang yang melihatnya”. Mereka berkata lagi: “Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami, supaya diterangkanNya kepada kami lembu betina yang mana satu? Kerana sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu kesamaran kepada kami (susah kami memilihnya), dan kami insya Allah akan mendapat petunjuk (untuk mencari dan menyembelih lembu itu)”. Nabi Musa menjawab: “Bahawasanya Allah berfirman: Sebenarnya (lembu yang dikehendaki itu) ialah lembu betina yang tidak pernah digunakan untuk membajak tanah (sawah bendang), dan tidak pula (digunakan mengangkut air) untuk menyiram tanaman; ia juga tidak cacat dan tidak ada belang pada warnanya”.

Mereka berkata: “Sekarang baharulah engkau dapat menerangkan sifat-sifatnya yang sebenar”. Maka mereka pun menyembelih lembu yang tersebut, dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan (perintah Allah) itu. (2.67-71)


Situasi yang sama berlaku hari ini. Manusia mempersoalkan dan mengada-adakan sesuatu yang tiada dari al-Quran. Mereka mencari jawapan dan beriman dengan cerita nenek moyang apabila sesuatu itu tiada di dalam al-Quran atau tidak dapat dijelaskan. Mereka melarang dan menyerang sesiapa yang menggunakan akal fikirannya. Mereka memanipulasikan ayat-ayat yang jelas dan mengisytiharkan al-Quran itu tidak sempurna tanpa rasa bersalah; Al-Quran ini ialah hidayah petunjuk yang cukup lengkap (45.11) Al-Quran sebuah Kitab yang tersusun ayat-ayatnya dengan tetap teguh dan dijelaskan pula kandungannya secara terperinci (11.1). Malahan mereka mengetepikan al-Quran dan membatasi hukum-hukum yang jelas di dalamnya; Dan berkatalah Rasul (Nabi Muhammad pada hari akhirat): “Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai” (25.30).

Inikah cara hidup Islam yang Allah mahukan? Islam yang sebenar dan satu cara hidup yang mampu menjadikan 'manusia itu satu umat'? Inikah bukti kepada sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah untuk menggembirakan dan menjadikan manusia itu bersyukur? Satu cara hidup yang dipenuhi oleh kepelbagaian dan keindahan? Segala warna-warni dan bunyi-bunyian kehidupan...



Oleh itu bagi orang yang beriman....

Wahai orang-orang yang beriman! Jagalah sahaja diri kamu. Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat hidayah petunjuk. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, kemudian Ia akan menerangkan kepada kamu (balasan) apa yang kamu telah lakukan. (5.105)