Share

YOU CAN EASILY RECOGNIZE THEM (56:7) BY WHAT THEY ARGUE (KORAN 47:30)

SHARE

Siapakah Ulama Sebenar?

Pengenalan


Keupayaan memperolehi pengetahuan menjadikan manusia ciptaan yang paling unggul. Tetapi apakah pengetahuan? Siapakah yang layak bergelar sebagai orang berilmu (ulama)?  Apakah pandangan al-Quran mengenai perkara ini?

Apakah Ilmu Pengetahuan?


Persoalan yang timbul di sini ialah, apakah pengetahuan?

Definisi Al-Quran Mengenai Ilmu: Al-Quran mengatakan:

Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya. (17.36)

Perkataan 'pendengaran' dan 'penglihatan' merujuk kepada deria atau pancaindera manusia dan perkataan Arab untuk 'hati' juga digunakan sebagai bermaksud 'fikiran'.

Penolakan Bukti Berbentuk Hearsay

Contoh berikut menghuraikan ayat ini: anda mendengar bunyi tembakan. Ia diikuti dengan jeritan dan rintihan kesakitan. Apabila anda pergi untuk melihat apa yang berlaku anda mendapati kawan baik anda telah ditembak dan anda merasa marah dan benci ke atas penembak. Dalam keadaan ini perasaan anda disokong oleh pengetahuan yang disaksikan sendiri oleh pancaindera anda ke atas peristiwa tersebut. 

Sebaliknya, jika anda tidak mendengar bunyi tembakan dan tidak melihat rakan anda cedera, tetapi anda mempunyai rasa marah dan benci ke atas seseorang yang anda sangkakan sebagai penembak, maka anda sekadar bertindak atas khabar angin (hearsay) dan tanpa pengetahuan kerana deria dan fikiran anda tidak terlibat secara langsung bagi membuat kesimpulan tersebut.

Prinsip Islam Berkaitan Pengetahuan

Oleh itu al-Quran menjelaskan bahawa pengetahuan yang tidak berupaya disahkan melalui pancaindera dan akal fikiran adalah tidak dianggap sebagai pengetahuan. Ayat (17.36) menjelaskan bagaimana pentingnya pancaindera (deria-persepsi) di dalam Islam. Konsep Al-Quran bagi pengetahuan adalah bersifat objektif dan pengetahuan daripada 'non-ego' itu adalah lebih unggul daripada 'ego'.

Penurunan wahyu Al-Quran menandakan titik peralihan pemikiran mengutamakan akal induktif (pemikiran melalui pembuktian fakta nyata). Hanya melalui pemikiran induktif (iaitu bentuk pemikiran di mana premis-premis berobjektif membekalkan bukti nyata bagi sesuatu kesimpulan) maka manusia berupaya menguasai dunia dan persekitaran beliau. Islam menetapkan dan memupuk semangat pemerhatian kritikal melalui pengalaman luaran dan secara melupuskan pengaruh kuasa alam yang bersifat ilahi (mistik etc).

Perkara utama yang mesti diperhatikan adalah Al-Quran; bagi maksud pengetahuan, menetapkan pemahaman terhadap bukti yang konkrit dan terbatas. Ia juga jelas bahawa kelahiran kaedah pemerhatian dan eksperimen sains dalam Islam disebabkan tiada kompromi dengan pemikiran mistik Yunani.

(Catatan: Rujuk Muhkamat dan Mutasyaabihat : 3.7 dan 74.31)

Dia lah yang menurunkan kepadamu Kitab Suci Al-Quran. Sebahagian besar dari Al-Quran itu ialah ayat-ayat “Muhkamaat” (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu isi Al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat “Mutasyaabihaat” (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbulah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing). Adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu, berkata:” Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan (meninggalkan yang Mutasyaabihat) melainkan orang-orang yang berfikiran. (3.7)

Pengawal dan penjaganya adalah sembilan belas.Dan Kami tidak menjadikan pengawal-pengawal neraka itu melainkan malaikat, dan Kami tidak menerangkan bilangan mereka melainkan dengan satu bilangan yang menyebabkan kesesatan dan kesengsaraan orang-orang kafir itu, supaya [...] dan supaya orang-orang yang ada penyakit dalam hatinya dan orang-orang kafir berkata: “Apakah yang di maksudkan oleh Allah dengan menyebutkan bilangan ganjil ini?” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia. (74.30-31)


Orang Yang Mengabaikan Pancaindera


Perbezaan Kemanusiaan dan Kebinatangan

Oleh kerana Islam menekankan deria manusia dan minda, maka al-Quran mengisytiharkan dalam terma yang paling jelas bahawa orang-orang yang mengabaikan deria dan fikiran mereka sebagai tidak menjalani kehidupan pada peringkat manusia. Mereka sebenarnya hidup pada tahap kebinatangan: 

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai. (7.179)

Ilmu Saintifik

Ayat ini menerangkan bahawa pengetahuan adalah yang berkaitan ke atas perkara yang boleh dijelaskan melalui pancaindera dan minda (muhkamat). Fakta dan pengetahuan yang tidak ketara serta abstrak (mutasyaabihat) tidak dapat dikira sebagai mempunyai sebarang kaitan dengan deria. 

Pemerhatian fenomena semula jadi dan pengkajian ke atas alam semesta, uji kaji untuk mencari hukum penciptaan atau sunnatullah, penyelenggaraan dan fungsi alam semesta adalah semuanya dilakukan melalui deria-persepsi (pancaindera). 

Dalam istilah moden ini dipanggil pengetahuan atau Ilmu Saintifik. al-Quran turut menerangkan bahawa tugas mencari dan membangunkan ilmu pengetahuan saintifik adalah kewajipan orang-orang yang beriman (momineen).


Pengikut Hukum Allah


Orang-orang Berakal

Al-Quran menekankan pemerhatian dan kajian fenomena semula jadi dan undang-undang alam semesta:

Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda  bagi orang-orang yang berakal (3.190)

'Orang-orang yang berakal' adalah:

Orang-orang yang memikirkan (penciptaan) Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring. Mereka memikirkan kejadian langit dan bumi (dan selepas penelitian dan eksperimen, mereka mengaku): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. (3.191)

(Bacalah (Kajilah)! dengan keterangan Tuhanmu yang menciptakan; 96.1 - Demikianlah perbuatan Allah yang telah menciptakan tiap-tiap  sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; 27.88).

Menguasai Hukum Alam

Di sini dan jua dalam keadaan selainnya, al-Quran menegaskan sesuatu yang amat penting. Al-Quran menegaskan bahawa tiada sesuatu pun dalam alam semesta ini dicipta tanpa sebarang tujuan. Tiada sesuatu pun dalam alam semesta ini tidak berguna atau tidak memberi manfaat kepada manusia mengikut caranya tersendiri. Hanya ketiadaan ilmu pengetahuan oleh umat manusia sendiri membuatkan seolah-olah segala ciptaan ini secara sia-sia, dan akibat daripada kejahilan inilah menjadikan semua manusia menderita.

Oleh itu adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk mentaati perintah Al-Quran melalui aktiviti penyelidikan dan penyiasatan. Ianya bukanlah tugas mudah dan memerlukan rangkaian makmal yang luas, ahli-ahli sains dan penyelidikan berterusan. Namun itu, orang-orang yang berusaha akan mempelajari hukum yang membolehkan mereka menguasai kuasa alam. Sebaliknya, mereka yang tidak menggunakan akal dan tidak berusaha akan ketinggalan, menjadi lemah dan mudah terjejas.


Tanda-tanda Allah


Seperti dinyatakan di atas, adalah menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk memahami hukum alam semula jadi (sunnatullah) dan menggunakan ilmu pengetahuan ini untuk manfaat manusia.

Sesungguhnya pada langit dan bumi terdapat tanda-tanda (ilmu pengetahuan) bagi orang-orang beriman. Dan pada penciptaan diri kamu sendiri, serta segala binatang yang dibiakkanNya, terdapat juga tanda-tanda (ilmu pengetahuan) bagi orang-orang beriman. Dan pada pertukaran malam dan siang silih berganti, dan juga pada rezeki yang diturunkan Allah dari langit, yang menghidupkan tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta pada peredaran angin, (terdapat) tanda-tanda (ilmu pengetahuan) bagi orang-orang yang mahu menggunakan akal fikiran. Itulah ayat-ayat penerangan Allah yang kami bacakan kepadamu sebagai membuktikan kebenaran; maka dengan keterangan yang manakah lagi mereka hendak beriman? Sesudah keterangan Allah (al-Quran) dan tanda-tanda kekuasaanNya (pada segala ciptaan-Nya - Sunnatullah)? (45.3-6)

Petunjuk Kepada Keimanan Sebenar

Allah menerangkan secara jelas bahawa keimanan kepada Allah hanya boleh diperolehi diperolehi melalui pengkajian manusia ke atas alam semesta dan undang-undang alam (sunnatullah). Jikalah perbuatan meneliti dan mengkaji segala hukum alam semula jadi masih tidak menghasilkan keyakinan dan keimanan kepada Allah, maka tiada apa lagi yang boleh memberikan keimanan kepada seseorang.  Penyataan yang mengejutkan ini membuktikan betapa pentingnya kajian saintifik ke atas fenomena alam. Al-Quran menegaskan keimanan sebenar berasaskan akal fikiran hanya boleh dicapai melalui kaedah ini.


Menemui Allah


Dakwaan bahawa Allah 'menyatakan diri-Nya' melalui fenomena semula jadi (sunnatullah) bukanlah dakwaan tanpa sebarang asas. Al-Quran menjelaskan perkara ini, begitu juga tujuan kehidupan manusia dan tujuan memperhatikan kesemua hukum-hukum Allah. Semua orang ingin 'bertemu' atau 'mencari' Allah. Al-Quran mengatakan:

Allah jualah yang meninggikan langit tanpa tiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan mengatur matahari dan bulan. Masing-masing beredar mengikut waktu yang ditentukan. Allah mengatur segala urusan. Dia menjelaskan tanda-tanda (ilmu saintifik dsbnya) supaya kamu meyakini pertemuan dengan Tuhanmu.  (13.2)

Ayat di atas menerangkan pengaturan alam semesta dan diikuti dengan menerangkan pertemuan hamba dengan Allah adalah mungkin. Ianya menandakan bahawa jika manusia mahu Allah mendedahkan diri-Nya, maka mereka perlulah mengkaji tanda-tanda yang diberikan oleh Allah ke atas alam semesta, meneliti setiap objek di dalamnya, dan melalui pemerhatian serta eksperimen, mereka perlulah menemui undang-undang yang mengawal sistem-sistem ini. Oleh itu segala misteri alam akan terbongkar satu persatu dan mereka akan memperolehi panduan serta maklumat bagaimana Allah mengatur alam semesta ini.

Ilmu Mengenai Allah

Inilah maksud 'melihat' dan 'pertemuan dengan Tuhanmu', dan bagi persoalan berkaitan entiti Allah, ianya adalah di luar kemampuan minda manusia, apatah lagi kemampuan deria-persepsi manusia itu sendiri.  'Melihat' atau 'pertemuan dengan Tuhanmu' tidak merujuk kepada pengertian fizikal, tetapi merujuk kepada memperolehi pengetahuan bagaimana alam semesta yang diatur oleh Allah berfungsi.

Ianya jelas di sini bahawa menurut al-Quran, hanya mereka-mereka yang meneliti dan mengkaji fenomena alam semula jadi sahaja yang boleh menemui bagaimana Allah mengatur alam semesta. Ia satu proses yang sukar dan panjang serta mungkin memerlukan pendakian puncak Himalaya, menyelami kedalaman Lautan Atlantik, merentasi kepanasan terik Gurun Sahara, dan melakukan penyelidikan di kawasan paling sejuk di Kutub Utara.

Penelitian dan penyelidikan sebegini hanya berupaya dilakukan oleh mereka yang merasa tidak berpuas hati dengan apa yang mereka ketahui pada masa ini; orang-orang yang sentiasa melihat di luar ufuk dan berusaha memperolehi lebih banyak ilmu pengetahuan (cf. 96:7).  Al-Quran mengatakan:

Sesungguhnya pada pertukaran malam dan siang, dan pada segala yang diciptakan oleh Allah di langit dan di bumi, ada tanda-tanda (ilmu pengetahuan mengenai Allah) bagi orang-orang yang bertakwa (muttaqeen). (10.6)


Siapakah Orang Bertakwa (Muttaqeen)


Ayat (10.6) di atas menyebut tentang Muttaqeen, dan meneruskan penerangan secara perbezaan sifat:

Sesungguhnya orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, dan yang berpuashati dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa aman dengannya, dan orang-orang yang tidak mengendahkan ayat-ayat Kami. (10.7)

Ayat ini menerangkan punca kitaran jatuh dan bangunnya sesebuah bangsa.  Iaitu mereka yang berpuas hati dengan status quo dan tidak berusaha untuk memperbaiki kehidupan dan masa depan yang lebih baik adalah mereka yang tidak mempunyai daya pemikiran dan tindakan positif. Mereka jatuh dari rahmat Allah dan ditinggalkan jauh ke belakang dalam membangunkan kehidupan yang sejahtera.

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas. Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (96.6-7)

Sebaliknya, negara-negara yang bekerja keras membangunkan ciptaan baru dan membuat penemuan baru melonjak jauh di hadapan. Oleh kerana inisiatif dan kerja keras, mereka memperolehi ganjaran dan membongkar khazanah-khazanah yang tersembunyi.


Kesengsaraan dan Kesempitan Hidup


Dan orang-orang yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah dan pertemuan denganNya,  mereka disempitkan harapan tanpa rahmatKu; dan mereka beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (29.23)

Putus harapan dan disempitkan harapan untuk menerima kemudahan hidup dianggap hukuman yang keras di dunia.  Sebagai contoh, sungai-sungai petroleum mengalir di bawah padang pasir negara-negara Arab. Tetapi rakyatnya merasa cukup dan berpuas hati. Mereka tiada lagi berkehendak, berkeinginan, atau menimba ilmu pengetahuan bagi memanfaatkan lagi anugerah alam yang tersembunyi ini. Akibatnya mereka terpaksa bergantung kepada teknologi dari negara luar dan bangsa asing walaupun sekadar untuk memenuhi keperluan-keperluan asas.

Sebaliknya, negara-negara Barat berusaha menggali dan mengepam petroleum yang tersembunyi di negara-negara Arab, dan akibatnya rakyat negara Barat mendapat manfaat membangunkan pelbagai teknologi dan industri, menguasai pertubuhan dan institusi gergasi dunia serta menjadi negara makmur.

Banyak negara-negara mempunyai potensi besar, tetapi rakyat mereka merasa sukup dan berpuas hati dengan status quo dan lebih suka sesuatu yang boleh didapati dengan mudah. Oleh itu, tiada apa pun yang dapat mendorong mereka untuk membangunkan kehidupan dan bekerja lebih keras. Akibatnya mereka sentiasa beberapa langkah ke belakang dan dalam banyak kes, mereka terpaksa berhutang dan bergantung kepada negara-negara lain.

Sebaliknya, negara-negara Eropah dengan tanah berkeluasan kecil tetapi dengan keupayaan pengeluaran yang tinggi, mereka bukan sekadar mampu memenuhi keperluan tempatan, tetapi berjaya mengeksport lebihan makanan kepada negara-negara lain. Ini disebabkan mereka sentiasa membanting tulang menurut hukum alam dan mengoptimakan peluang daripada khazanah alam yang tersembunyi.

Dan sesiapa yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka sesungguhnya adalah baginya kehidupan yang sempit (20.124)

Undang-undang ini adalah universal dan tanpa sebarang pengecualian. Orang Muslim telah menjauhkan diri daripada hukum ini berabad-abad lamnya; dan telah sebati sehingga seolah-olah apa jua kesempitan hidup pada hari ini telah tidak lagi dapat dijadikan pengajaran. Mereka juga telah sama sekali mengabaikan pancaindera mereka dan gagal mengambil memanfaatkan deria mereka secara betul. Maka itu orang Muslim telah terlepas peluang mendapatkan keistimewaan hidup seperti ini. Orang-orang Muslim telah terjerumus ke dalam kategori:

Orang-orang yang telah dimeteraikan Allah Taala hati mereka dan pendengaran mereka serta penglihatan mereka; dan merekalah orang-orang yang tidak mengambil pengajaran. (16.108)

Selanjutnya ada yang berfikir bahawa maksud 'pertemuan Allah' ialah bertanggungjawab bagi segala perbuatan kita pada hari akhirat. Makna ayat-ayat ini menjadi tidak sesuai sekalipun dalam konteks ayat yang disebutkan di atas. Hakikatnya kekal bahawa untuk beriman dengan 'pertemuan dengan Allah', pemerhatian dan kajian fenomena semula jadi adalah penting.


Point Penting


Dalam perenggan di atas al-Quran telah menjelaskan bahawa:

i) Ilmu adalah setakat apa yang boleh dibuktikan oleh deria manusia dan fikiran,

ii) Penggunaan deria adalah untuk memerhatikan fenomena semula jadi, mengkaji undang-undang alam, menjalankan penyelidikan yang konsisten, dan melihat serta memahami bagaimana keterangan dari ayat-ayat Allah terbukti pada alam semesta. memberi limpah kurnia-Nya secara sistematik, pertumbuhan dan pembangunan.

Amalan itu adalah sifat-sifat utama orang beriman secara umum dan kewajipan muttaqeen khususnya. Inilah zikir-o-fikr i-khudawandi, atau mengikuti hukum-hukum Allah. Kelakuan ini memberikan pemahaman ke atas benda yang tersembunyi dari rahsia alam semesta, dan atas dasar ilmu, maka kita dapat mengakui, "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia."

Bukan setakat itu sahaja yang kita perlu dilakukan. Allah telah menyatakan bahawa terdapat bukti kebenaran segala tuntutan Al-Quran dalam bentuk tanda-tanda (signs) yang diberikan oleh-Nya di alam semesta.

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. (41.53)

Tanda atau tuntutan-tuntutan ini menjadi nyata hanya setelah keterlibatan kebenaran diselesaikan melalui pengetahuan manusia dan usaha.

Di dalam ayat ini, perkataan anfus (dunia dalaman) disebutkan bersama-sama dengan Afaq (dunia luar), yang menunjukkan bahawa sains tidak hanya terhad kepada undang-undang fizik tetapi merangkumi semua bidang sains sosial dan juga, yang mana perlu dibangunkan oleh penyelidikan praktikal. Sejarah, psikologi dan sosiologi adalah penting. Dari masa ke semasa, sains fizikal dan sosial akan terus mendedahkan dan mengesahkan tuntutan yang dibuat oleh al-Quran. Ini adalah jelas kerana al-Quran adalah kitab Allah dan Dia melihat segala-galanya sepanjang masa.

Tidakkah cukup bahawa Allah mengawasi segala sesuatu. (41.53) 

Apa sahaja yang Ia turunkan tentang alam semesta dan objek di dalamnya berdasarkan fakta dan bukan anggapan. Maurice Bucaille, dalam bukunya The Bible, al-Quran dan Sains, membincangkan pelbagai tuntutan Al-Quran yang disahkan melalui penyelidikan saintifik moden.

Katakanlah: Al-Quran itu diturunkan oleh Allah yang mengetahui segala rahsia di langit dan di bumi (25.6)

Mereka yang tidak mengetahui tanda-tanda di alam semesta mempunyai keraguan mengenai melihat bukti Allah. Malah mereka tidak perlu pergi jauh untuk berbuat demikian; kajian apa-apa jua objek di alam semesta dapat memberi keterangan ke atas hukum-hukum Allah. Perintah rabubiyat tidak terikat kepada mana-mana satu perkara, tetapi merangkumi seluruh alam semesta:

Ingatlah! Sesungguhnya mereka sentiasa dalam keraguan tentang pertemuan dengan Tuhan mereka. Ingatlah! Sesungguhnya Dia Maha Meliputi segala sesuatu. (41.54)


Siapakah Ulama?


Setakat ini kita telah melihat definisi al-Quran mengenai ilmu. Setalah mengetahui ini, ia menjadi mudah untuk menentukan secara benar; menurut keterangan al-Quran, siapakah  orang yang berilmu (ulama) dan apakah maksud sebenar istilah tersebut. Al-Quran telah menjelaskan segala fakta ini supaya tiada kekeliruan ke atas siapa itu ulama:

Tidakkah kamu melihat bahawasanya Allah menurunkan hujan dari langit lalu Kami hasilkan dengan hujan itu buah-buahan yang beraneka macam jenisnya. Dan di antara gunung-gunung itu ada garis-garis putih dan merah yang beraneka macam warnanya dan ada yang hitam pekat. Dan demikian di antara manusia, binatang-binatang melata dan binatang-binatang ternak ada yang bermacam-macam warnanya. Sesungguhnya yang mengagumi Allah di antara hamba-hamba-Nya, hanyalah orang berilmu (ulama . الْعُلَمَاءُ). Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Pengampun. (35.27-28)

Kedua-dua ayat berurusan dengan bahagian yang berlainan di alam semesta, cawangan yang berlainan di alam semula jadi, dan pelbagai bidang sains. Fizik, botani, zoologi, dan kemanusiaan semuanya disentuh.  Orang yang berilmu akan mengagumi kerana pengertian dan pemahaman mereka telah meyakinkan diri mereka ke atas kuasa dan hikmat-Nya dalam mengawal alam semesta dengan begitu sempurna.

Ulama Sebenar Adalah Saintis atau Pakar

Al-Quran telah merujuk golongan ini sebagai ulama (الْعُلَمَاءُ), dan dalam istilah moden mereka dipanggil sebagai Ahli Sains (Saintis). Mereka adalah orang yang mengkaji sifat ciptaan alam dan melalui pemerhatian serta ujikaji yang konsisten, mereka menakluki kuasa alam.  Allah telah meletakkan kuasa alam di bawah kawalan kita semua, tetapi hanya mereka yang tahu (berilmu) ke atas hukum-hukum alam yang boleh memanipulasi kuasa-kuasa ini. Satu-satunya cara untuk menjadi seorang ulama ini adalah untuk memperoleh pengetahuan ini.



Perbezaan Dengan Ulama Hari Ini (Pendita)


Setelah mempelajari definisi al-Quran ke atas ulama, ia adalah satu latihan yang menarik untuk membandingkan ulama semasa dengan penerangan al-Quran.

Ilmu Ketinggalan Zaman

Mereka tidak tahu asas-asas ilmu sains semula jadi, dan pengetahuan mereka sangatlah terhad kepada perbincangan teori dan pembetulan lisan dalam bahasa Arab. Perbincangan ini tidak langsung berkaitan dengan isu-isu yang mempunyai hubungan dengan alam atau kehidupan praktikal manusia. Kurikulum sekolah agama pula diagihkan bagi tempoh sepuluh tahun yang mana pelajar mempelajari logik, falsafah, retorik, tatabahasa, sastera, dan lain-lain, yang mana sebahagian besar adalah ketinggalan zaman. Mereka juga belajar mengenai ilmu astronomi, geometri, dan mengira, yang juga telah ketinggalan zaman.

Tiada Pengkajian Al-Quran

Paling mengejutkan kajian al-Quran tidak termasuk dalam kurikulum. Di mana-mana institusi pengajian agama (termasuklah semua pondok di Malaysia); Wahai Tuhanku sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai (25.30). Satu tafsiran tertentu (Jilalain) diajar yang terdiri hanyalah sinonim dari perkataan bahasa arab di dalam al-Quran. Pada tahun akhir pengajian, tafsiran bab kedua dari Al-Quran akan diajar (Bazadi). Ini adalah pendidikan apabila selesai dan bagi menerima pensijilan untuk menjadi seorang Aalim (orang berilmu).

Contoh Kejahilan Ulama (Pendita)

Berikut adalah contoh yang baik untuk menggambarkan tahap pengetahuan orang-orang yang bergelar ulama pada hari ini:

Apabila penggunaan pembesar suara telah diperkenalkan di India sebelum 1947, fatwa telah dikeluarkan bagi penggunaan pembesar suara untuk tujuan agama. Presiden organisasi dari, Mufti Kafayat-Ullah, menulis:

"Peralatan yang dirujuk untuk pendapat di sini, tidak pernah digunakan sebelumnya. Tetapi adalah diketahui peralatan tersebut, apabila diletakkan di hadapan pemidato, dan apabila dia bercakap terhadap peralatan tersebut, maka peralatan tersebut berupaya menyerap bunyi dan kemudiaan menyiarkan kembali bunyi tersebut ke jarak yang tidak melebihi satu perempat daripada jarak jika tanpa bantuan peralatan tersebut. "(Naqeeb, 10 November 1941)

Mufti kemudian memberi keputusan yang memihak penggunaan pembesar suara.  Walau bagaimanapun, seorang Alim lain, Mufti Mohammad Shafee, seorang pendidik utama di akademi keagamaan Deobandi, menerbitkan fatwa dalam sebuah majalah di mana penggunaan alat-alat pembesar suran untuk solat telah diharamkan.

Beliau menulis bahawa dia tidak tahu sifat peralatan pembesar suara dan bagaimana ia berfungsi. Beliau mendapatkan maklumat daripada guru sains, Encik Brij Lal Nandan Alexander, Sekolah Tinggi Bhopal, dan guru itu berkata, "Oleh kerana terdapatnya penggunaan kuasa elektrik maka saya teragak-agak untuk mempercayai bahawa bunyi itu adalah asli, dan saya mendapati ianya sukar untuk dinafikan, samada kerana untuk membuktikan sebaliknya adalah juga sama sukar".  Selepas "kajian menyeluruh" dan atas dasar sangkaan ke atas orang bukan Islam, orang Aalim memutuskan bahawa ia adalah ketetapan Allah dan Rasul-Nya untuk melarang penggunaan pembesar suara. 

(Senarai fatwa-fatwa yang tidak masuk akal)

Semua ini menggambarkan baik betapa jahilnya mereka yang bergelar ulama hari ini ke atas tekonologi, ilmu sains semulajadi dan dunia zaman moden; dan ianya ironis apabila mereka memegang kuasa mengeluarkan fatwa. Di Pakistan bukan sahaja berkaitan fatwa dan pendapat peribadi, malahan perkara berkaitan penggubalan undang-undang turut menjadi mangsa kepada pertimbangan golongan yang jahil ini (golongan yang mewarisi atau mengulangi kembali sifat-sifat Ahli Kitab di dalam al-Quran, golongan Pendita dan Rabbi).


Menjelaskan Salah Faham 


Dari pelbagai penjelasan setakat ini, ianya adalah jelas bahawa menurut al-Quran, orang Mukminin, orang Muttaqeen, dan orang-orang yang mematuhi serta sentiasa memperhatikan hukum-hukum Allah, dan orang-orang yang beriman dan merindukan pertemuan dengan Allah, adalah orang yang mengkaji penciptaan pada alam semesta, dan mereka melaksanakan penyelidikan praktikal ke atas objek dan kuasa-kuasa alam semula jadi (Sunnatullah). Pengalaman yang diperolehi itu dipanggil sebagai pengetahuan, dan al-Quran meletakkan orang-orang yang mempunyai pengetahuan ini sebagai ulama.

Pada ketika ini, terlintas di fikiran bahawa orang-orang di negara Eropah dan Amerika Utara bukanlah orang Mukmin dan Muttaqeen dalam erti kata yang sebenar. Sememangnya ianya adalah sangat penting untuk memperolehi pengetahuan saintifik, namun itu ianya adalah salah untuk semata-mata menganggap bahawa hanya dengan berbuat demikian seseorang itu boleh menjadi seorang Mukmin atau Muttaqeen.

Faktor Penentu

Faktor kritikal ialah samada seseorang menggunakan maklumat itu mengikut petunjuk, perintah dan ketetapan Allah. Jadi, ada dua keadaan yang menjadi seseorang itu Mumin:

             (a) untuk menimba ilmu dari alam semula jadi, dan

             (b) menggunakannya sesuai dengan perintah Allah.

Al-Quran menuntut bahawa:

Wahai orang-orang yang beriman! Tempuhilah cara hidup Islam secara keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (2.208)

Negara yang tidak memenuhi kedua-dua kriteria tersebut tidak boleh menjadi seorang Mumin, dan kerana orang Islam gagal memenuhi kriteria yang pertama, maka mereka juga tidak boleh membuat tuntutan untuk menjadi sebagai seorang Mukmin.

Di samping itu, jika kita tidak mempunyai ilmu pengetahuan mengenai kuasa alam, kita tidak akan dapat menggunakan ilmu tersebut dan sebagaimana Allah telah menerangkannya di dalam al-Quran. Sebaliknya, negara-negara Barat tidak memenuhi kriteria kedua; oleh itu, pada tahap yang praktikal, Islam dan barat bukan Islam dan berada dalam kedudukan yang sama.

(How Islamic are Islamic Countries? Mr Askari explained that Muslim countries do very badly on these types of lists because those in power in Islamic countries often don't follow the rules of the Koran; Ireland named as the best country for 'adhering to Koran')

Untuk memanfaatkan kuasa alam mengikut hukum-hukum Allah, maka seseorang itu hendaklah benar-benar mengkaji al-Quran kerana segala hukum dan peraturan-peraturan ini terkandung di dalam al-Quran. Orang-orang yang tetap teguh dan mendalam ilmunya akan melaksanakan segala hal ehwal mereka menurut ketatapan Allah kerana mereka tahu jika "sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah maka mereka itulah orang-orang kafir" (5.4)

Kepentingan Penyucian & Matahati

Namun itu dan akibat manusia menolak al-Quran, dan walaupun dengan pelbagai kemakmuran, persekitaran kehidupan mereka bertukar menjadi kehancuran. Ianya jelas dilihat pada budaya barat. Walaupun dengan semua kehebatan saintifik, mereka tidak dapat mencari penyelesaian yang tepat untuk masalah manusia. Deria dan minda mereka tidak berupaya membantu mereka, dan bagi kategori ini al-Quran mengatakan:

Dan sesungguhnya Kami telah meneguhkan kedudukan mereka dalam hal-hal yang Kami belum pernah meneguhkan kedudukanmu dalam hal itu, dan Kami telah memberikan kepada mereka pendengaran, penglihatan dan hati; tetapi pendengaran, penglihatan dan hati mereka itu tidak berguna sedikit juapun bagi mereka, kerana mereka sentiasa mengingkari ayat-ayat Allah dan mereka diliputi oleh siksa yang dahulu selalu mereka memperolok-olokkannya. (46.26)

Jika negara-negara Barat menggunakan kuasa-kuasa serta ganjaran alam mengikut ketetapan Allah, kesengsaraan yang dialami umat manusia akan berubah menjadi kemakmuran sebenar, yang disebut-sebut sehingga beribu tahun lamanya. Sebaliknya mereka yang berpuas hati dengan status quo dan tidak bertindak mengikut ketatapan Allah terhadap Rububiyat akan menjalani kehidupan yang terkutuk.

Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas. Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. (96.6-7)

Jalan Sebenar

Sebaliknya, orang-orang yang mempunyai keteguhan iman ke atas ayat-ayat Allah, dan mereka berusaha serta bekerja menurut petunjuk dari al-Quran serta mengkaji sistem-sistem di dalamnya, maka mereka itu di atas jalan yang betul dan menikmati kejayaan hidup di dunia dan kejayaan hidup di akhirat. Mereka juga sentiasa bimbang ke atas kesejahteraan orang lain kerana menyedari bahawa tiada satu pun dari alam semesta ini dicipta dengan sia-sia.

Apa gunanya Allah menyeksa kamu sekiranya kamu bersyukur serta kamu beriman? Dan Allah sentiasa Membalas dengan sebaik-baiknya, lagi Maha Mengetahui. (4.147)

Masyarakat sedemikian akan terus berkembang sehingga ia meliputi seluruh umat manusia, dan pada masa itu semua orang akan mengakui bahawa sistem kehidupan Allah dengan limpah kurnia-Nya yang universal adalah paling terunggul.


Kesimpulan


Jika umat Islam mahu membentuk masyarakat mengikut Al-Quran, maka mereka mestilah menjadi penyelidik dan ahli-ahli sains yang kompeten di setiap bidang ilmu. Melalui pemerhatian dan eksperimen dalam kedua-dua dunia dalaman (Anfus) dan dunia luar (Afaq), kuasa alam boleh dimanfaatkan dan ganjarannya boleh dikumpulkan serta diedarkan kepada manusia mengikut undang-undang yang terkandung di dalam al-Quran. Hanya orang yang mempunyai ciri-ciri ini layak bergelar sebagai Ulama.  Sebaliknya jika kita terus menerus mendokong ideologi salah dan yang telah diputarbelitkan serta mengangkat golongan Pendita sebagai Ulama, maka bukan sahaja pertermuan dengan Allah menjadi mustahil, tetapi kita malahan tidak termasuk ke dalam kategori negara-negara yang maju.; Mesej dari The Ulema: Who are They?



This is the Book (the Quran)
whereof there is no doubt
a guidance to those who are Al-Muttaqun
(2:2)